Aira Binti Azman memenangi tiga pingat emas dalam Kejohanan skuasy Terbuka Junior kategori bawah 13 tahun di Pontefract, England, Hong Kong, dan India.

Aira Binti Azam

Sek Keb Jalan Pengawai, Alor Setar, Kedah

Sukan : Skuasy


Aira Meneruskan Legasi Keluarga

Membesar dalam kalangan atlet, Aira Azman, sudah dapat merasakan tanggungjawab yang perlu dipikulnya dalam meneruskan legasi keluarga. Gadis berusia 12 tahun ini merupakan anak bongsu dari empat beradik yang mana kesemuanya telah menempah nama sebagai pelapis sukan skuasy negara.

Mengikut jejak langkah abangnya, Akid Azman, pemain skuasy Kedah berusia 22 tahun serta dua orang kakaknya, Aika, 19 dan Aifa, 15, Aira telah mula melibatkan diri dalam sukan skuasy sejak beliau berusia lima tahun lagi. Kedua ibu bapa beliau memainkan peranan yang besar dalam membentuk minat Aira terhadap sukan ini terutama sekali ibunya, yang merupakan peminat setia Aira dalam sukan skuasy. Ibu Aira juga begitu prihatin terhadap perkembangan serta prestasi Aira dalam sukan skuasy. Ibunya amat menitikberatkan pengambilan makanan yang sihat dan akan memastikan bahawa Aira mengambil makanan dalam jumlah sederhana serta berkhasiat dalam diet hariannya.

Semangat tidak mudah mengalah menjadi sumber inspirasi

Mengambil Low Wee Wern sebagai idolanya, Aira sangat mengagumi kecekalan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Wee Wern. Aira melihat Wee Wern sebagai seorang yang tidak mudah mengalah malah, berusaha keras untuk memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertainya. Ia menjadi pembakar semangat buat Aira untuk terus giat berlatih kerana beliau percaya latihan yang berterusan sangat membantu untuk meningkatkan prestasinya dalam sukan skuasy. Aira akan terus gigih berlatih sendiri walaupun tiada sesi latihan bersama jurulatihnya. Beliau mengimpikan untuk menjadi antara sepuluh pemain terkemuka dunia sebelum menjelang usia 19 tahun.

Bagi Aira, sokongan daripada keluarganya yang tidak berbelah bahagi banyak membantu beliau untuk sampai ke tahap ini. Beberapa kali dicalonkan sebagai pemain terbaik dalam Kejohanan Skuasy Junior, pencapaian tertinggi Aira ialah apabila beliau memenangi tiga pingat emas tahun lalu dalam Kejohanan skuasy Terbuka Junior kategori bawah 13 tahun di Pontefract, England, Hong Kong, dan India.


Perjalanannya mencabar dan ia bukan mudah. Tetapi apabila masa mereka tiba untuk menyerlah, mereka tidak berputus asa dan #takkangentar . Mereka adalah juara kami. Mereka adalah masa depan kita.