Felicia Binti Mikat meminati sukan lumba lari dan sering menyertai acara sukan tersebut meskipun kebolehan beliau dikekang dengan masalah penglihatan.

Felicia Binti Mikat

SMK Badin Tuaran, Tuaran, Sabah

Sukan : Balapan Dan Padang


Berani mengejar impian

Semenjak kecil, Felicia Mikat sememangnya meminati sukan lumba lari dan sering menyertai acara sukan tersebut meskipun kebolehan beliau dikekang dengan masalah penglihatan. Sewaktu di sekolah rendah, Felicia telah mewakili sekolahnya di dalam acara sukan, tetapi tidak pernah memenangi apa-apa pingat. Apabila umurnya mencecah 12 tahun, beliau mula menunjukkan peningkatan dan mula memenangi pertandingan-pertandingan yang disertainya

Kekurangan bukan penghalang

Biarpun mempunyai masalah penglihatan yang banyak membatasi pembelajarannya, Felicia tidak pernah menganggap perkara tersebut sebagai penghalang untuk beliau terus belajar. Kekurangannya bukanlah penghalang beliau untuk terus berusaha mencapai impian.

Semenjak kejayaannya, beliau sekarang mendapat lebih banyak perhatian dan telah mendapat ramai pengikut di Facebook. Tetapi, Felicia mengakui selain daripada kata-kata semangat yang diterimanya, ada juga segelintir yang mengejek dan memperkecilkan dirinya, dengan mempersoalkan kemampuan beliau untuk beraksi di Brazil. Namun, memegang ketat kepada pesanan ibunya yang banyak memberi kata-kata sokongan untuk terus menguatkan semangat, Felicia tidak pernah bersedih lama malah, ia menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan dan mengejar impiannya.

Selain ibunya, guru Felicia, En. Brian Bonnie serta jurulatihnya, Tony Sawan, turut banyak mendorong Felicia supaya tidak berputus asa. Kata beliau, “Mereka banyak memberi semangat kepada saya untuk tidak berhenti berlatih, serta inspirasi kapada saya agar dapat membanggakan negara di mata dunia”.


Perjalanannya mencabar dan ia bukan mudah. Tetapi apabila masa mereka tiba untuk menyerlah, mereka tidak berputus asa dan #takkangentar . Mereka adalah juara kami. Mereka adalah masa depan kita.


Disiplin bantu perbaiki diri

Mengakui bahawa latihan yang dijalaninya adalah sukar dan mencabar, beliau sedar akan sentiasa ada pelari yang lebih pantas darinya. “Teruskan berlatih tanpa henti dan pupuk diri untuk lebih berdisiplin kerana hanya dengan disiplin, kita boleh memperbaiki diri”, pesan Felicia kepada rakan-rakan yang ingin menceburi sukan ini.

Tanpa impian untuk menjadi juara, Felicia Mikat masih berpendapat bahawa ada ramai yang lebih baik darinya. Merasakan dirinya masih mentah dalam bidang sukan, Felicia menyedari bahawa terdapat lebih banyak atlet berpengalaman yang mampu menandingi/mengatasi beliau. “Saya tidak menjanjikan apa-apa pingat namun, saya berjanji untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa”, katanya mengakhiri perbualan.